Ghanu Daily

Friday 18 January 2013

Pengedar diperlukan

Listen: Bawani tidak tuntut Sharifah mohon maaf



KUALA LUMPUR:
 Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) Bawani KS tidak mahu menuntut permohonan maaf daripada Presiden Suara Wanita 1 Malaysia Sharifah Zohra Jabeen sebaliknya mengingatkan beliau bahawa mahasiswa ada hak untuk menyuarakan pandangan mereka.


Katanya, kebebasan mahasiswa bersuara tidak mengira umur, taraf, dan agama kerana itu adalah hak mereka seharusnya diberi layanan dan didengari.

Malah katanya, pihak universiti perlu bebas dan tidak boleh dikongkong oleh mana-mana pihak termasuk pemerintah.

"Di universitilah mahasiswa perlu diberi peluang untuk menilai diri sendiri tanpa di pengaruhi oleh pihak berkepentingan," katanya.

Hari ini, Bawani tampil dalam sidang media selepas klip video yang menunjukkan panalis Sharifah Zohra  menghalang beliau untuk memberi pandangan dalam sebuah forum di UUM, menjadi video terhangat di Facebook.

Hampir keseluruhan wakil mahasiswa yang bersama dalam sidang media Solidariti bersama Bawani 'Anak Muda Kuasa Perubahan' menuntut agar Sharifah Zohra memohon maaf secara terbuka kepada Bawani.

Masing-masing mengecam tindakan Sharifah Zohra yang seolah-olah tidak menghormati hak mahasiswa dalam melontarkan pandangan mereka.

Ianya termasuklah, Transformasi Mahasiswa UUM, Gerakan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Kami, Dema, SAMM, Ameerah Wanita Muda PAS, PSM, Suaram, Jerit, dan Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).

Bagaimanapun, Bawani gembira kerana mendapat sokongan solidariti daripada pelbagai pihak terutama mahasiswa.

"Saya bukan keseorangan, beribu-ribu mahasiswa bersama saya untuk menegakkan keadilan.

"Saya bukan hero dalam isu ini, saya orang biasa di luar sana ramai orang berlipat kali ganda hero daripada saya. Saya hanya menyuarakan suara mahasiswa untuk memperjuangkan keadilan," katanya.

Menceritakan bagaimana beliau boleh tampil mengajukan persoalan di dalam forum "Seiringkah mahasiswa dan politik?, katanya, ianya berikutan persembahan slaid yang memaparkan kritikan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat serta beberapa aktivis.

Persembahan slaid itu, katanya memaparkan gambar Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Bersih Datuk Ambiga dan gambar protes mahasiswa terhadap PTPTN baginya ia tidak selari dengan tajuk forum tersebut.

"Oleh sebab itulah saya bangun mengemukakan soalan dan berhujah sebelum Sharifah menarik mikrofon saya,"katanya.

Sebelum itu beliau juga tidak berpuas hati apabila membenarkan dua soalan sahaja dikemukakan kemudian diikuti bacaan ikrar lebih 2000 pelajar.

"Saya agak hairan, sepanjang forum yang saya hadiri maha ada sesi ikrar, inilah kali pertama saya tengok orang ramai diarah melafazkan ikrar.

"Saya berpendapat,  forum tersebut bukan bagi mendengar suara mahasiwa tetapi sebaliknya adalah untuk membodohkan mahasiswa,” kata yang sedang mengambil ijazah kedua di UUM, ijazah pertama di UKM dalam bidang Psikologi.

Beliau tidak perlu bimbang terhadap tindakan yang diambilnya semasa forum tersebut kerana beliau tidak melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Forum yang diadakan pada 8 Disember 2012 merupakan anjuran DPP Proton UUM dengan kerjasama Pertubuhan Suara Wanita 1 Malaysia.

Forum yang diadakan di Dewan Muadzam Shah UUM, turut menawarkan gajet terkini kepada peserta forum berkenaan.

Dr Abdul Rani ketuai rombongan ke Gaza




SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk menyampaikan sumbangan kewangan kepada rakyat Gaza dari cengkaman tangan khianat regim Zionis Israel.

Menurut beliau, kerajaan negeri Selangor menyumbang RM61,000 untuk membina projek pembinaan makmal membuat anggota palsu (Prosthesis) di bumi Gaza.

Katanya, rombongan kerajaan Selangor dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia akan bertolak dari KLIA jam 11 malam ini dan dijangka pulang ke Malaysia pada 28 Januari nanti.

Beliau memaklumkan lebih 10 orang ahli rombongan akan berada di wilayah bergolak itu bagi menyampaikan bantuan ubat-ubatan dan membangunkan bengkel pembuatan anggota palsu.

"Saya bersyukur kerana mendapat sumbangan daripada orang ramai khususnya umat Islam di seluruh negara terutama rakyat di Selangor melalui tabung-tabung di masjid," katanya.

Beliau berkata sesiapa yang berminat untuk menyumbang ke Tabung Palestine boleh terus di atas nama Yayasan Amal Malaysia di MAYBANK  (AC 553010122090)  atau   CIMB ISLAMIC (AC 14680000191108 )